Semasa dia menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 1998, Leftenan Kolonel (LTC) Elizabeth Soh tidak sangka dia akan terlibat dalam projek yang akan memberi impak kepada seluruh SAF.
Pada 2006, dia menyertai pasukan yang ditugaskan untuk memperbaiki seragam tempur SAF. Hasilnya? Seragam tempur berpiksel yang hari ini dipakai oleh semua askar.
"Perjalanan dua tahun ini menyaksikan kami mengusahakan pelbagai cara untuk memperbaiki seragam tempur yang terdahulu," kata LTC Soh.
"Terdapat tiga aspek utama yang kami ambil kira dan akhirnya perbaiki – peletakan epaulet, cetakan, di samping kain yang digunakan.
"Kami menggunakan algoritma komputer untuk menghasilkan cetakan piksel itu, dan kami memperbaiki kain yang digunakan untuk membuat seragam itu agar ia lebih selesa untuk askar-askar kami semasa latihan."
SAF akhirnya memperkenalkan seragam tempur berpiksel pada 2008 tetapi kerja pasukan pembangunan tidak berakhir di situ.
"Seragam adalah item yang bersifat peribadi kepada mana-mana askar, dan kami memahami bahawa ia adalah perubahan yang drastik dari segi cetakan. Sesetengah daripada maklum balas beranekdot (yang kami terima) adalah kami kelihatan seperti tembikai berjalan," kata LTC Soh sambil tergelak.
"Kami tahu bahawa ia akan mengambil masa untuk menyampaikan dan melatih askar-askar kami tentang reka bentuk fungsian dan pembangunan kain seragam (baharu). Semakin masa beredar, askar-askar kami semakin memahami dan berupaya menghargai ciri-ciri seragam tersebut."
Peranan LTC Soh adalah untuk merancang pelaksanaan dan melengkapkan seragam berpiksel untuk seluruh SAF.
"Keseluruhan proses melengkapkan seragam itu mengambil lebih kurang empat atau lima tahun, dan tahun-tahun tersebut sangat memuaskan hati - Saya melaksanakan produk yang lebih efektif untuk askar-askar kami, dan ia membuatkan saya benar-benar berbangga apabila saya menyarungkan ia setiap hari, mengetahui bahawa saya adalah sebahagian daripada proses tersebut."
Bagi mengiktiraf sumbangan beliau, LTC Soh menerima Pingat Kepujian (Tentera) daripada Setiausaha Tetap (Pertahanan) Chan Yeng Kit semasa Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Hari Kemerdekaan, yang diadakan pada 15 Nov di Kementerian Pertahanan.
Sebanyak 115 Pingat Kepujian, 142 Pingat Berkebolehan dan 504 Pingat Bakti Setia telah dianugerahkan kepada anggota tentera dan kakitangan bukan tentera tahun ini.
"Saya bersyukur mempunyai keluarga yang menyokong - kedua-dua ibu bapa dan adik saya sentiasa bersedia membantu saya," kata LTC Soh. "Saya juga berterima kasih kepada rakan sekerja dan mentor saya yang telah berkongsi pengalaman dan memberikan nasihat kepada saya dalam membantu mengatasi sebarang halangan untuk mencapai kejayaan misi."
LTC Soh yang berusia 40 tahun kini menggalas jawatan sebagai Ketua Cawangan, Staf Am (Latihan), dan menyelia pembangunan latihan untuk pihak Tentera.
"Negara kita kecil dan terhad dari segi kawasan darat, jadi pasukan saya dan saya perlu meneliti keperluan jangka pertengahan dan panjang pihak Tentera.
Apabila ditanya apakah detik yang mendefinisikan karier 20 tahunnya dalam SAF, dia berkata: "Menggalas jawatan sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Pengangkutan SAF ke-3 dari 2014 hingga 2016 sesuatu yang istimewa dan benar-benar suatu penghormatan.
"Saya sungguh diberkati ketika berada dalam perkhidmatan dan berpeluang melakukan pelbagai jenis projek, serta memimpin dan menguruskan askar-askar."